KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan Konvensyen Pakatan Harapan 2026 pada 17 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dengan tema “Tekad Madani, Harapan Rakyat”.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, PH memaklumkan konvensyen yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu menjadi medan memperkukuh kesepaduan kepimpinan serta menyelaras gerak kerja politik gabungan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, konvensyen berkenaan turut memberi tumpuan kepada hala tuju PH dalam mendepani cabaran semasa termasuk aspek pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik dan keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan.
“Konvensyen ini menjadi platform memperkukuh kesepaduan kepimpinan dan organisasi selain menyelaras gerak kerja politik Pakatan Harapan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
PH berkata, penganjuran semula konvensyen berkenaan selepas kali terakhir diadakan pada 2022 mencerminkan komitmen berterusan gabungan itu dalam memperkukuh organisasi dan memperkasa agenda reformasi.
“Penganjuran semula ini mencerminkan komitmen berterusan PH dalam memperkasa agenda reformasi dan memastikan aspirasi Kerajaan MADANI terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari serta Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan.
Baca juga:








