KUALA LUMPUR: Ketiadaan bendera Barisan Nasional (BN) serta wakil parti komponen lain pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA bukanlah perkara luar biasa, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurut beliau, situasi seperti itu pernah berlaku sebelum ini, malah Perlembagaan parti tidak mewajibkan kehadiran wakil UMNO atau MIC di perhimpunan tersebut.
“Keberadaan pemimpin BN dalam Perhimpunan Agung MCA hanyalah nilai tambah jika dirasakan perlu. Begitu juga soal bendera.
“Ketika saya menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tiada bendera BN dipamerkan. Apa yang penting adalah perjalanan perhimpunan itu sendiri, bukan soal bendera,” katanya, memetik berita tempatan pada Isnin.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut menjelaskan bahawa tumpuan kali ini lebih kepada urusan dalaman parti, terutamanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang baru berlangsung hujung bulan lalu.
Beliau berkata, perhimpunan tersebut sebenarnya dijadualkan pada 1 Disember, namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada PRN Sabah.
“Sebaik PRN selesai, kita segera mengadakan perhimpunan bagi memenuhi syarat Perlembagaan yang menetapkan ia perlu dilaksanakan sebelum 31 Disember,” jelasnya.
Mengenai isu pengganti presiden yang sering diperkatakan, Wee memaklumkan bahawa perkara itu tidak dibincangkan pada perhimpunan kali ini kerana fokus utama ialah memastikan kelangsungan serta pengukuhan parti.
“Perbincangan mengenai pengganti presiden atau timbalan presiden akan dibuat pada masa yang sesuai. Buat masa ini, keutamaan kita adalah memperkukuh parti,” katanya.
Baca juga:;








