PAS tiada pemimpin kompeten untuk tadbir negara – Penganalisis

PETALING JAYA: PAS didakwa tidak mempunyai barisan pemimpin yang benar-benar kompeten untuk mengurus pentadbiran dan pemerintahan negara.

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, sebahagian pemimpin parti itu dilihat kurang memahami aspek penting melibatkan dasar awam, ekonomi, pembangunan serta tadbir urus kerajaan.

Menurut Dr Yusry, kelemahan tersebut dapat dilihat menerusi perbahasan wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang disifatkan masih dangkal serta kurang menyentuh isu dasar secara menyeluruh.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada kurangnya kemahiran dalam aspek pentadbiran selain tidak menunjukkan minat mendalam untuk memahami isu berkaitan pemerintahan negara.

“Apabila mereka memegang jawatan dalam kerajaan, kelemahan sama akan terserlah dan menampakkan lompang yang ketara dalam pentadbiran,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya pada Khamis.

Beliau berkata, situasi itu bukan sahaja merugikan parti, malah rakyat dan pembayar cukai kerana gagal memperoleh kepimpinan yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa pemimpin PAS yang menunjukkan prestasi baik dalam pentadbiran negeri.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar PAS menilai semula struktur kepimpinan parti dengan membezakan kepimpinan parti dan kepimpinan untuk pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, PAS juga boleh mengetengahkan golongan teknokrat serta profesional berkemahiran tinggi sebagai calon pilihan raya walaupun tidak memegang jawatan dalam parti.

Katanya, langkah itu mampu melahirkan anggota legislatif yang lebih berkualiti serta berupaya mentadbir kerajaan dengan lebih berkesan berdasarkan kepakaran masing-masing.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat