SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kemelut politik yang berlaku di negeri itu sebagai satu pengajaran penting agar semua pihak sentiasa tenang dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya negeri (PRN).
Beliau mengakui berasa terkilan dengan situasi berkenaan, namun menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar demi kepentingan rakyat.
“Ini satu pengajaran supaya kita sentiasa tenang, sabar dan tidak mudah gelabah. Dalam masa sama, saya mahu rakyat Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri.
“Saya juga manusia biasa, tentu ada rasa tercalar dan hiba dengan apa yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) di kawasan parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Rabu malam.
Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP), Anthony Loke serta Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Aminuddin berkata, penyokong parti serta pengundi atas pagar perlu memperkukuh jentera parti-parti komponen PH bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRN di Negeri Sembilan dan negeri lain.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat negeri itu yang terus memberikan sokongan dan doa kepada kepimpinan beliau serta kerajaan negeri.
“Walaupun berdepan cabaran, pentadbiran negeri masih berjalan dengan baik dan teratur. Ini penting bagi memastikan kestabilan politik dan keyakinan pelabur terus kekal,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban rakyat termasuk menurunkan kadar sewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu peniaga menawarkan harga makanan lebih rendah.
“Kita tidak mahu hanya bercakap soal politik semata-mata, sebaliknya perlu memikirkan cara membantu rakyat dan mengurangkan kos sara hidup.
“Kita bimbang keadaan ekonomi tidak menentu boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan dan perkara itu perlu diberi perhatian serius,” katanya lagi.
Beliau menegaskan akan terus menjalankan tanggungjawab memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan pada pilihan raya akan datang.
Semalam, dilaporkan kemelut politik di Negeri Sembilan berjaya diurus dengan baik selepas perbincangan antara pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
Baca juga:








