KUALA TERENGGANU: Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz Negeri Terengganu hari ini menjadi wadah penuh makna apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpeluang mendekati anak-anak yang menuntut ilmu dalam suasana beradab dan penuh kesungguhan.
Beliau berkata, institusi tahfiz memainkan peranan besar dalam membentuk generasi berakhlak mulia, berilmu dan berintegriti, selari dengan hasrat membangun masyarakat berteraskan nilai ihsan.
“Generasi ini bukan sekadar pewaris, sebaliknya pemimpin masa hadapan negara.
“Justeru, anak-anak tahfiz perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan penguasaan al-Quran tetapi juga ilmu dan teknologi moden agar lahir generasi huffaz profesional yang mampu memacu perubahan dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar pelajar sentiasa berpegang pada prinsip tabayyun iaitu meneliti dan memastikan kesahihan setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Usah terpengaruh dengan suara-suara sumbang yang tidak berlandaskan fakta serta gemar menabur dakyah palsu.
“Peganglah pada kebenaran, perkukuh ilmu dan teruskan usaha menjadi insan yang membawa manfaat kepada ummah dan negara,” katanya.








