KUALA LUMPUR: Kerajaan mempergiat usaha menyusun semula sektor sayur-sayuran negara menerusi pendekatan lebih tersusun bagi menjamin bekalan berterusan dan melindungi kebajikan petani.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa langkah penyelarasan jadual tanaman kini sedang dilaksanakan di peringkat akar umbi.
“Kita sedang susun jadual penanaman petani supaya pengeluaran lebih terancang dan tidak berlaku lambakan atau kekurangan di pasaran,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata, pendekatan itu penting dalam memastikan kestabilan bekalan serta harga sayur-sayuran di seluruh negara.
“Dalam masa sama, kita perkasakan sistem ladang kontrak supaya petani ada jaminan pasaran dan tidak terdedah kepada risiko kerugian,” katanya.
Tambah beliau, usaha berkenaan juga dilihat mampu meningkatkan kecekapan rantaian bekalan makanan domestik.
“Bila pengeluaran dirancang dan pasaran terjamin, kebajikan petani lebih terbela dan bekalan kepada rakyat juga lebih konsisten,” ujarnya lagi.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi berterusan kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
Baca juga:








