Gangguan Internet Jejas Operasi Jabatan Laut, Pulih Petang Ini

PELABUHAN KLANG: Perkhidmatan internet melibatkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) di seluruh negara dilaporkan terganggu sejak awal pagi tadi akibat kerosakan kabel gentian optik di kawasan Pelabuhan Klang.

Dalam kenyataan rasmi, JLM memaklumkan gangguan tersebut menjejaskan capaian di ibu pejabat serta semua pejabat laut wilayah di seluruh negara.

Punca dikenal pasti sebagai insiden ‘fibre cut’ yang menjejaskan rangkaian komunikasi utama jabatan.

“Sejurus kejadian dikesan, Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi Elektronik (UTMKE) ibu pejabat telah mengambil tindakan segera dengan melaporkan insiden ini kepada Telekom Malaysia (TM).

“Pasukan teknikal TM kini berada di lokasi dan sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan serta pemulihan rangkaian dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Menurutnya, gangguan turut melibatkan talian 1Network JLM sehingga menyebabkan beberapa sistem digital utama seperti Ship Clearance System (SCS) dan Malaysia Marine Department Information System (MMDIS) tidak dapat diakses buat sementara waktu.

Katanya, bagi memastikan kelangsungan operasi, pegawai serta pengguna berkaitan disarankan menggunakan kaedah manual sehingga sistem kembali pulih.

Menurut makluman awal TM, kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya sekitar pukul 4.30 petang ini, bergantung kepada keadaan di lokasi.

JLM menegaskan komitmen untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pemegang taruh tidak terjejas dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Anda Mungkin Berminat