PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seluruh rakyat Malaysia merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga penyanyi legenda India, Asha Bhosle, yang meninggal dunia pada usia 92 tahun di Hospital Breach Candy, Mumbai akibat serangan jantung.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, Anwar menyifatkan pemergian Asha sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia muzik dan kebudayaan India, malah kepada seluruh dunia.
“Sebagai penyanyi, beliau telah menyatukan emosi, tradisi dan pensejarahan melalui ribuan karya merentas generasi.
“Suaranya yang unik, sarat jiwa dan tenaga, telah menghidupkan layar perak dan drama yang mengisi ruang hati jutaan insan di seluruh dunia,” katanya.
Anwar turut berkata, Asha, yang juga adik kepada Ratu Melodi India Lata Mangeshkar, telah mengangkat legasi keluarga seni Mangeshkar dengan gaya tersendiri.
“Beliau tetap membina kepemimpinan seninya dengan gaya tersendiri, selain berani bereksperimen, buat lebih dari sekadar biasa, tidak ‘mediocre’, malah terus relevan dalam arus dan rencam zaman yang sentiasa menjanjikan perubahan dan citra baharu,” ujarnya.
Perdana Menteri berharap agar legasi mendiang terus menyemarakkan inspirasi kepada generasi penerus dalam memperkaya dunia muzik dan kebudayaan.
Dilahirkan pada 8 September 1933 di Sangli, Maharashtra, Asha membesar dalam keluarga seni yang terkenal.
Mewarisi bakat daripada ayahnya, penyanyi klasik Pandit Deenanath Mangeshkar, beliau mula menyanyi sejak kecil selepas kematian bapanya demi membantu menyara keluarga.








