Anwar Ucap Selamat Tahun Baharu Chithirai, Vaisakhi Dan Vishu

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu kepada seluruh masyarakat Tamil, Sikh dan komuniti Malayalee yang meraikannya.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, kepelbagaian budaya dan agama yang diwarisi adalah asas yang menyatukan rakyat Malaysia dalam semangat kebersamaan.

“Semoga tahun baharu ini membawa kebahagiaan yang menenangkan jiwa, kesihatan berpanjangan serta keberkatan yang melimpah buat kalian,” katanya.

Perdana Menteri turut berkata, keharmonian yang terjalin antara masyarakat berbilang kaum adalah tunjang kepada kemakmuran negara.

“Kepelbagaian yang kita warisi ini adalah asas yang menyatukan kita dalam satu ikatan kebersamaan dengan semangat saling menghormati, saling memahami dan saling memperkukuh.

“Dalam semangat ini, marilah kita terus memelihara perpaduan dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab agar Malaysia kekal teguh sebagai sebuah negara yang makmur dan harmoni,” katanya.

Anda Mungkin Berminat