KOTA BHARU: Sebuah sindiket pengedaran dadah jenis ganja bernilai RM120,000 berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kelantan pada 11 April lalu.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, operasi dijalankan di sekitar Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang.
Beliau berkata, pihak polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 45 tahun yang kini direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 April bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil serbuan itu, polis merampas sembilan bungkusan plastik hitam berisi beberapa peket plastik mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat keseluruhan 40 kilogram.
Selain rampasan dadah, pelbagai harta turut disita termasuk sebuah kereta Proton X50, sebuah motosikal Aveta, wang tunai sebanyak RM160,078 serta mata wang Thai Baht berjumlah 200,500 (bersamaan kira-kira RM24,800).
Turut disita adalah empat utas jam tangan, 88 barang kemas pelbagai jenis serta sembilan cincin perak.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan sebanyak RM909,278.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia khususnya JSJN Kontinjen Kelantan dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah serta menyokong agenda Jihad Dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya.








