CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak menjual minyak kepada negara lain secara sewenang-wenangnya kerana keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan tenaga domestik mencukupi untuk rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, lebih tertumpu kepada keperluan perdagangan dua hala yang saling melengkapi, bukannya penjualan minyak seperti didakwa pihak tertentu.
“Sebenarnya kita tidak jual minyak. Kita perlu faham, hubungan perdagangan ini bersifat saling memerlukan. Kita perlukan fosfat daripada Australia, manakala mereka memerlukan urea daripada kita,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, hari ini.
Beliau turut menjelaskan kerajaan ketika ini tidak berupaya membekalkan diesel kepada pihak luar memandangkan bekalan sedia ada perlu diutamakan bagi kegunaan dalam negara.
“Ada minyak, kita boleh pertimbangkan jika ada lebihan. Buat masa ini belum. Jadi tohmahan yang timbul itu tidak tepat,” katanya.
Terdahulu, Malaysia dan Australia menyatakan komitmen bersama untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan perdagangan terbuka bagi memperkukuh ekonomi serta menjamin kelangsungan rantaian bekalan antara dua negara.
Baca juga:








