KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan majoriti rakyat Malaysia tidak terkesan dengan harga diesel pasaran kerana masih menikmati subsidi kerajaan.
Menurut beliau, hanya sekitar 15 peratus rakyat terlibat dengan penggunaan diesel pada harga pasaran, manakala baki 85 peratus terus menggunakan diesel bersubsidi.
Katanya, isu kenaikan harga diesel sering dimanipulasi pihak tertentu tanpa menjelaskan keadaan sebenar yang melibatkan sebahagian kecil rakyat sahaja.
“Isu harga diesel sering dibangkitkan, tetapi kajian menunjukkan hanya 15 peratus rakyat terkesan dengan harga pasaran itu.
“Sebaliknya, 85 peratus rakyat masih menggunakan diesel pada harga subsidi, namun yang sering dihebahkan adalah kumpulan kecil tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Dalam pada itu, Anwar mengakui terdapat golongan tertentu yang terkesan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Namun jelasnya, kerajaan telah memberikan pengecualian kepada sektor penting seperti pengangkutan awam, bas sekolah, lori strategik dan nelayan bagi memastikan mereka tidak terbeban.
“Bagi sektor pengangkutan, kita kecualikan bas sekolah, lori strategik serta nelayan.
“Ada yang mendakwa nelayan terjejas, sedangkan mereka masih menikmati diesel pada harga subsidi, bukan harga pasaran,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan terus mengadakan perbincangan secara berterusan bagi mencari pendekatan terbaik dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Kita sentiasa berbincang setiap hari untuk mencari langkah yang sesuai bagi meringankan beban rakyat,” ujarnya.
Baca juga:








