Kebakaran Deretan Rumah Di Kampung Bahagia

SANDAKAN: Deretan rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan Sabah musnah dalam kebakaran awal pagi ini apabila api marak menjulang tinggi, menerangi keseluruhan kawasan penempatan berkenaan.

Menurut ciapan di X, penduduk kampung dilihat bergegas keluar menyelamatkan diri apabila api merebak pantas melalui struktur rumah kayu yang rapat serta lorong sempit.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara, menambahkan suasana cemas di kawasan berkenaan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.32 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi.

Anggota bomba dilihat bergelut memasuki lorong sempit bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

Setakat ini, jumlah rumah yang terjejas serta mangsa masih belum dapat dipastikan.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian.

Untuk info, kawasan Batu Sapi sebelum ini pernah mencatat beberapa insiden kebakaran besar melibatkan rumah kayu rapat termasuk di Kampung Gas dan Kampung Cenderamata.

Faktor utama ialah struktur binaan tidak kekal, lorong sempit serta kepadatan penduduk yang menyukarkan operasi menyelamat.

Anda Mungkin Berminat