PETALING JAYA: Kepelbagaian budaya, tradisi dan komuniti di Malaysia bukanlah cabaran, sebaliknya kekuatan yang wajar diraikan bersama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Visit Malaysia 2026 Vaisakhi Fest pada Sabtu.
“Kekuatan Malaysia berpaksikan kepada kepelbagaian budaya, tradisi dan komuniti yang menjadi tunjang kepada perpaduan serta ketahanan negara,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kepelbagaian budaya merupakan elemen penting yang mengangkat semangat kebersamaan, memperkukuh identiti nasional dan menyatukan rakyat sebagai satu bangsa yang harmoni.
Katanya lagi, sebagai pengiktirafan terhadap warisan serta sumbangan komuniti Sikh, kerajaan mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM500,000 bagi menyokong aktiviti dan sambutan komuniti Sikh di seluruh negara.
“Di Malaysia, kepelbagaian budaya merupakan elemen penting yang mengangkat semangat kebersamaan, memperkukuh identiti nasional dan menyatukan kita sebagai satu bangsa yang harmoni,” katanya.
Anwar turut berkata, komuniti Sikh telah lama menjadi sebahagian penting dalam perjalanan Malaysia, menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat serta kemajuan negara.








