Kerajaan terus beri baucar buku RM100 kepada pelajar sekolah, IPT

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani meneruskan inisiatif pemberian baucar Buku MADANI bernilai RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Perkara gembira itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berkata, bantuan itu akan disalurkan menerusi mekanisme diskaun secara terus ketika pembelian buku dilakukan.

Jelas Anwar, Kerajaan Madani akan komited meletakkan pendidikan serta budaya membaca sebagai keutamaan meskipun negara berdepan kekangan kewangan.

“Jika kita mahu membina negara bertamadun dengan masyarakat berilmu dan berpengetahuan luas, kita mesti menggalakkan budaya membaca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC) pada Jumaat.

Anwar berkata, seluruh pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan serta penuntut IPT di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus menerima baucar bernilai RM100 seorang.

“Saya sudah maklumkan kepada Kementerian Kewangan bahawa walaupun keadaan sukar dan ada kekangan kewangan, soal buku dan pendidikan mesti terus diberi keutamaan,” ujar beliau.

Jelas Perdana Menteri,pelaksanaan baucar itu akan diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun bantuan berkenaan kini disalurkan terus kepada pelajar.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa ibu bapa memainkan peranan lebih aktif memastikan baucar tersebut digunakan untuk membeli buku serta memantau amalan membaca anak-anak.

“Ibu bapa perlu memastikan baucar buku ini dimanfaatkan sepenuhnya dan jangan hanya membeli buku untuk disimpan di rak,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan budaya membaca dalam kalangan masyarakat moden yang menurutnya berpunca daripada kebergantungan melampau kepada media sosial.

Katanya, rakyat lebih cenderung membaca kandungan ringkas di media sosial sehingga cuba menyelesaikan isu kompleks hanya dengan beberapa patah perkataan.

“Budaya membaca kini menjadi masalah dalam dunia moden. Ramai hilang minat membaca kerana hanya bergantung kepada media sosial,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan itu berbahaya kerana boleh menjejaskan budaya ilmu dan pendidikan dalam masyarakat.

Sehubungan itu, Anwar sekali lagi menyeru ibu bapa supaya membudayakan amalan membaca dalam kalangan anak-anak bermula dari rumah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat