JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (IPD JBS) melaksanakan operasi khas bersepadu bagi membendung aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang semakin membahayakan keselamatan pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, operasi yang dijalankan bermula 18 April 2026, pukul 5 petang hingga 19 April 2026, pukul 6 pagi di kawasan Lebuhraya Pasir Gudang itu diketuai oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dengan kekuatan lapan anggota trafik.
Hasil operasi beliau berkata, polis berjaya menahan 13 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 21 tahun kerana melakukan aksi berbahaya di jalan awam.
Katanya, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta penjara sehingga lima tahun.
Selain itu katanya, pihak polis turut menyita 16 buah motosikal dan mengeluarkan 41 saman POL 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Aktiviti lumba haram dan samseng jalanan adalah satu perbuatan yang sangat berbahaya dan tidak akan dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa khususnya di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan aktiviti tersebut.
Orang awam turut digesa untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti lumba haram atau samseng jalanan kepada pihak polis melalui talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-218 2222.








