PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor telah mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian salah laku buli yang melibatkan murid di sebuah sekolah.
Kejadian itu menjadi tular di laman media sosial dan mencetuskan kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan pelajar di institusi pendidikan.
Dalam kenyataan rasmi, JPN Selangor menyatakan rasa kesal terhadap kejadian buli tersebut.
“Pihak sekolah dengan pemantauan JPN Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat telah mengambil beberapa tindakan segera.
“Antaranya ialah menghubungi ibu bapa dan penjaga murid yang terlibat, menjalankan siasatan dalaman, melaporkan kejadian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta mengadakan sesi kaunseling untuk murid yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
JPN Selangor berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas semua murid yang terlibat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Selain itu, JPN Selangor menyeru masyarakat agar tidak menyebarkan hantaran di media sosial yang mendedahkan identiti murid yang terlibat, terutama kerana ia melibatkan kanak-kanak di bawah umur.
JPN Selangor bertanggungjawab memastikan semua institusi pendidikan di negeri ini selamat untuk murid, guru dan seluruh warga institusi.








