SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyeru umat Islam agar menunaikan zakat melalui saluran yang sah serta memastikan pengagihannya dilakukan secara telus kepada golongan asnaf yang berhak.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah setiap negeri mempunyai sistem pungutan dan agihan zakat tersendiri bagi menjamin kebajikan asnaf diurus secara teratur dan berkesan.
Sehubungan itu, mana-mana pihak luar tidak seharusnya melangkaui sempadan negeri untuk membuat kutipan zakat tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri berkaitan.
“Sultan Selangor menyeru rakyat negeri ini supaya memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat yang disampaikan di masjid-masjid seluruh Selangor hari ini bertajuk ‘Tunaikan Zakat Kepada Amil Bertauliah’.
“Baginda mahu umat Islam mengambil iktibar bahawa zakat adalah ibadah melibatkan harta yang memainkan peranan penting dalam membantu asnaf serta memakmurkan ekonomi umat Islam,” menurut hantaran tersebut.
Di Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dengan perkenan baginda telah mewakilkan Lembaga Zakat Selangor untuk menguruskan segala urusan berkaitan kutipan dan agihan zakat.
Dalam masa sama, baginda turut menegaskan bahawa zakat yang dikutip dalam sesebuah negeri perlu diagihkan kepada asnaf di negeri berkenaan. Umat Islam juga diingatkan agar mempertahankan hak golongan asnaf daripada disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jangan berdiam diri atau menyembunyikan kesalahan yang berlaku kerana dikhuatiri kita tergolong dalam kalangan yang membantu kemungkaran dengan menzalimi serta menafikan hak asnaf.
“Umat Islam perlu memahami bahawa bukan sahaja zakat, malah sebarang kutipan dana awam yang melibatkan kepentingan umat Islam di Selangor perlu mendapat kebenaran pihak berautoriti,” titah baginda.
Baca juga:








