KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyelewengan dana zakat dan akan mengambil tindakan tegas termasuk terhadap kesalahan pecah amanah serta salah guna kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, isu berkenaan dipandang serius dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Kes ini masih dalam siasatan dan tidak mencerminkan keseluruhan sistem pengurusan zakat di Malaysia. Jika terbukti berlaku kesalahan seperti pecah amanah atau salah guna kuasa, tindakan undang-undang akan diambil tanpa pengecualian,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zulkifli menzahirkan keyakinan bahawa institusi zakat di negara ini secara umumnya menguruskan amanah dengan baik dan profesional.
Menurutnya, banyak pusat zakat kini mencapai tahap pengurusan yang membanggakan, termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang menerima pelbagai pengiktirafan tadbir urus serta sijil audit bersih daripada Ketua Audit Negara.
Mengulas penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pengurusan zakat, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada Majlis Agama Islam Negeri dan pusat zakat di peringkat negeri masing-masing.
Sementara itu, beliau memaklumkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memulakan inisiatif untuk memperkukuh tadbir urus NGO Islam melalui latihan dan kursus berkaitan pengurusan kewangan serta tatakelola.
“Kita menyediakan latihan bagi meningkatkan keupayaan NGO, khususnya dalam aspek tadbir urus dan kewangan, selain meneroka kursus yang lebih komprehensif sebagai sokongan pengetahuan,” katanya.








