CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini merakam percakapan seorang individu yang disyaki terlibat dalam penyebaran berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.
Individu tersebut, yang hadir bersama peguamnya, tampil ke ibu pejabat MCMC di Cyberjaya bagi memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan.
Rampasan itu dibuat bagi membantu siasatan di bawah peruntukan Seksyen 248, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan” menurut MCMC pada Jumaat.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan saluran digital untuk menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh mengelirukan orang ramai.
Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam.
Baca juga:








