TULAR sekatan akaun TikTok yang dilaporkan berlaku besar-besaran pada Sabtu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Perkongsian meluas di media sosial mendakwa ramai pengguna mendapati akaun mereka hilang atau digantung secara tiba-tiba. Bagaimanapun, pengguna diminta tidak panik kerana ia dipercayai berpunca daripada isu teknikal sistem.
Menurut sumber dalam industri, termasuk pengurus rangkaian pencipta kandungan (MCN), pasukan TikTok kini sedang dalam proses memulihkan semula akaun yang terjejas secara berperingkat.

Dalam masa sama, pengguna diingatkan supaya menyimpan maklumat penting akaun seperti UID bagi memudahkan semakan sekiranya berlaku sebarang masalah pada masa hadapan.
Sementara itu, terdapat juga dakwaan bahawa tindakan sekatan ini berkait dengan penguatkuasaan polisi baharu dan garis panduan lebih ketat yang dilaksanakan platform berkenaan.
Antara faktor utama yang dipercayai menyumbang kepada sekatan akaun termasuk isu pengesahan umur, khususnya melibatkan pengguna bawah 16 tahun, selaras dengan pematuhan kepada peraturan media sosial yang lebih ketat.
Selain itu, polisi baharu berkaitan “manipulasi emosi” turut dikuatkuasakan, di mana kandungan yang dianggap sengaja memancing simpati seperti lakonan sedih atau drama rekaan untuk mendapatkan hadiah (gifts) dan tontonan ketika siaran langsung boleh dikenakan tindakan.
Akaun yang memuat naik kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) tanpa pelabelan jelas juga berisiko disekat kerana dianggap mengelirukan penonton.
Dalam perkembangan sama, TikTok turut dipercayai sedang menjalankan operasi pembersihan besar-besaran terhadap akaun palsu, termasuk penggunaan bot, pembelian pengikut serta aktiviti “fake engagement”.
Kes peniruan identiti atau penggunaan kandungan individu lain tanpa kebenaran, termasuk akaun peminat (fan account), juga antara punca akaun disekat.
Terdapat juga laporan tidak rasmi yang mendakwa sekatan ini berkait dengan usaha pihak berkuasa mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan pengguna bawah umur. Namun, pengguna berusia 13 tahun ke atas masih boleh membuat rayuan dengan mengikuti proses pengesahan yang ditetapkan oleh platform.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak TikTok berhubung isu berkenaan, namun pengguna dinasihatkan untuk mematuhi garis panduan komuniti serta memastikan maklumat akaun sentiasa lengkap dan sah.
Baca juga:








