Anwar: Abdul Halim Aman pilihan tepat terajui SPRM

BUKIT MERTAJAM: Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat tepat dan bertepatan dengan keperluan semasa agensi berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Abdul Halim memiliki latar belakang kukuh dalam bidang kehakiman selain tidak terlibat dalam mana-mana perniagaan besar atau parti politik, sekali gus menjadikannya calon yang sesuai untuk menerajui SPRM.

“Pada hemat saya, beliau layak memimpin SPRM dan terus memperkukuh keupayaan agensi itu,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Menurut beliau, cadangan pelantikan itu telah dibincangkan bersama Sultan Ibrahim bagi tempoh dua tahun.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai Pusat Transformasi Digital Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di NADI Kubang Semang pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Azam Baki yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei ini atas sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Abdul Halim, 69, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat