Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu kuat kuasa 13 Mei


SHAH ALAM: Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang akan menamatkan kontraknya pada 12 Mei.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata pelantikan itu diperkenankan oleh Sultan Ibrahim selepas cadangan dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurut beliau, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan peruntukan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Kerajaan yakin pengalaman luas serta integriti tinggi yang dimiliki beliau mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat usaha pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.

Baginda turut menegaskan bahawa jawatan tersebut amat penting dalam memastikan SPRM terus berfungsi secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat