KUALA PILAH: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki secara berseloroh menyatakan beliau tidak akan menyertai sebarang perhimpunan di hadapan Sogo selepas menamatkan perkhidmatannya pada 12 Mei ini.
Menurut beliau, keadaan fizikalnya yang masih sihat membolehkan beliau memberi tumpuan kepada pelbagai aktiviti seperti berjoging dan berbasikal selepas bersara.
“Saya belum ada perancangan khusus, tetapi saya masih sihat dan boleh lakukan aktiviti seperti joging atau berbasikal.
“Jadi, saya tidak akan berhimpun di Sogo,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Azam turut menegaskan beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti politik selepas ini, sebaliknya mahu terus berbakti kepada rakyat sebagai seorang penjawat awam.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan melalui lanjutan kontrak perkhidmatannya sebanyak tiga kali sepanjang memegang jawatan tersebut.
Pada masa sama, Azam menyatakan keyakinan bahawa SPRM akan terus cemerlang di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Halim Aman yang akan mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya berkuat kuasa 13 Mei ini.
“Saya yakin kecemerlangan SPRM akan diteruskan oleh warga agensi ini di bawah kepimpinan baharu,” katanya sambil menyeru semua pegawai dan kakitangan memberikan kerjasama penuh kepada penggantinya.
Untuk rekod, Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya, sebelum kontraknya disambung beberapa kali bagi menerajui agensi tersebut.
Baca juga:








