Putra Abdullah Dinobat Juara Perdana Byon Kickstriking Asia

KUALA LUMPUR: Malam gemilang di World Trade Centre Kuala Lumpur menyaksikan sejarah baharu dalam dunia seni bela diri apabila jaguh Malaysia, Putra Abdullah menewaskan lawannya dari Indonesia, Ronal Siahaan dengan kemenangan mutlak (unanimous decision) dalam acara kemuncak Byon Combat Showbiz 7.

Kemenangan itu bukan sahaja menutup perdebatan selepas pertemuan pertama mereka di Jakarta tahun lalu yang berakhir seri, malah mengangkat Putra Abdullah sebagai juara perdana sabuk Byon Kickstriking Asia iaitu satu pencapaian yang mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa.

Dalam pertarungan penuh taktikal, kedua-dua petarung tampil berhati-hati, menjaga jarak dan melancarkan serangan terukur.

Namun, Putra Abdullah lebih konsisten mengawal tempo, sekali gus meyakinkan juri untuk memberikan kemenangan sebulat suara.

Acara Byon Combat Showbiz 7 yang pertama kali dianjurkan di luar Indonesia berjaya menarik lebih 3,000 penonton dengan 12 pertarungan sengit termasuk aksi panas antara Fahri Alamsyah dan Kabilan Jelevan II.

Anda Mungkin Berminat