Agong Zahir Ucapan Hari TLDM Ke-92, Hargai Jasa Pertahan Kedaulatan Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan selamat sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92 hari ini.

Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga serta veteran TLDM atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

“Seri Paduka Baginda merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan seluruh warga dan veteran TLDM dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara,” menurut kenyataan di Facebook Rasmi Baginda pada Isnin.

Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan doa dan penghormatan kepada anggota yang telah terkorban.

“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Baginda.

Untuk info, Hari TLDM disambut setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap peranan pasukan itu sebagai benteng pertahanan maritim negara bagi memastikan perairan Malaysia sentiasa terpelihara dan kedaulatan negara terus terjamin.

Anda Mungkin Berminat