Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-92 Meriah Di Lumut

LUMUT: Padang Kawad KD PELANDOK, Pangkalan TLDM Lumut hari ini menjadi pentas penuh istiadat apabila Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut ulang tahun ke-92 dengan tema “TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara”.

Upacara gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Ts Datuk Badarudin Taha, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga TLDM dalam mempertahankan perairan negara.

Perbarisan melibatkan enam kontinjen dengan kekuatan 26 pegawai dan 549 anggota LLP, diketuai oleh Pemangku Komander Wan Mohammad Firdaus Wan Ghazali TLDM serta dibantu oleh Pegawai Waran I PAP (PKL) Saharudin Zainol selaku Pegawai Waran Perbarisan.

Acara kemuncak menyaksikan penyampaian piala dan anugerah berprestij kepada pasukan dan individu cemerlang.

Markas Pasukan Khas Laut dinobatkan sebagai Markas Terbaik TLDM 2025, manakala KD LEKIR meraih Piala Agong dan Piala Gonzales.

KD PERKASA pula menerima Piala Panglima Tentera Laut.

Dalam kategori individu, Bintara Muda PBK (I) Mohd Hafizh Shaari dari Markas Logistik Barat dipilih sebagai Bintara Terbaik TLDM, manakala Laskar Kanan PLM Mohammad Adam Nasir dari KD DUYONG dinobatkan sebagai Laskar Terbaik TLDM.

Turut menjadi sorotan ialah penganugerahan Pingat Pujian Panglima Tentera Laut kepada dua anggota yang mempamerkan kecemerlangan luar biasa.

Pegawai Waran I PAP (PKL) Mohd Kamil Mustafa diiktiraf atas sumbangan inovasi melalui Projek Integrasi Langit Biru yang menjimatkan kos operasi TLDM, selain kejayaan beliau sebagai atlet payung terjun dengan lebih 1,200 penerjunan.

Beliau pernah dinobatkan sebagai Laskar Terbaik TLDM 2018 dan Bintara Terbaik TLDM 2023.

Sementara itu, Laskar Kelas I TLS Muhammad Hazwan Helmie Nor Azmi dipuji atas keberanian menyelamatkan rakan yang terkena renjatan elektrik dalam situasi kritikal, sekali gus mengelakkan kehilangan nyawa.

Sambutan ulang tahun kali ini turut berlangsung serentak di semua markas formasi dan unit TLDM di seluruh negara.

Acara kerohanian seperti Ceramah Perdana, Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Khutbah Khas serta Solat Jumaat melengkapkan pengisian sambutan.

Selain itu, aspek kebajikan keluarga warga TLDM diberi perhatian melalui Majlis Ramah Mesra BAKAT yang meraikan balu, anak yatim dan anak istimewa, menzahirkan keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti The Navy People.

Orang ramai juga berpeluang mendekati TLDM melalui Hari Terbuka Armada (HTA) di Lumut, Kota Kinabalu, Tanjung Gelang, Kuantan dan Sandakan, selain sambutan Lumut Bandar Tentera Laut dengan pelbagai aktiviti menarik.

Upacara turut dihadiri oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor, barisan Jawatankuasa Laksamana, warga TLDM serta para veteran, menjadikan sambutan ulang tahun ke-92 ini bukan sahaja penuh tradisi tetapi juga sarat dengan penghargaan dan semangat kebersamaan.

Anda Mungkin Berminat