SEREMBAN: Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ketika ini susulan perkembangan politik semasa, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang cadangan atau pandangan dikemukakan oleh mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.
“Buat masa ini belum ada pandangan seperti itu (mencadangkan pembubaran DUN),” katanya dipetik Berita Harian.
Sidang media berkenaan diadakan di kediaman Aminuddin pada Isnin, dengan kehadiran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri.
Terdahulu, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin susulan krisis adat yang melanda Negeri Sembilan ketika ini.







