Krisis Negeri Sembilan: Tindakan 14 ADUN BN Jejas Kekukuhan Kerajaan, Khianat Mandat Rakyat

KUALA LUMPUR: Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, disifatkan sebagai langkah tidak bertanggungjawab serta mengkhianati mandat rakyat.

Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, tindakan tersebut mencerminkan sikap tidak konsisten dalam kalangan wakil rakyat BN sekali gus menjejaskan kestabilan kerajaan negeri.

“Ini bukan sahaja mengkhianati mandat rakyat, malah menunjukkan kegagalan untuk berperanan sebagai rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, rakyat sebenarnya mengharapkan kepimpinan matang dan stabil, namun langkah berkenaan hanya menambah ketidaktentuan politik.

Fadhli turut mendakwa tindakan itu memperlihatkan kecenderungan pihak tertentu mengambil kesempatan daripada situasi politik semasa tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

Selain itu, beliau berkata, sekiranya benar wujud kerjasama antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN), maka Pakatan Harapan (PH) perlu menilai semula bentuk kerjasama politik sedia ada.

“Pakatan Harapan perlu jelas dengan pendirian sendiri. Kestabilan tidak boleh bergantung kepada sokongan yang berubah-ubah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kedudukan kerajaan negeri yang melibatkan UMNO termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang serta di peringkat Persekutuan diteliti semula.

Fadhli turut mengingatkan agar UMNO tidak menjadi punca kepada pembentukan kerajaan tidak stabil yang boleh menjejaskan perpaduan dan pentadbiran negara.

Anda Mungkin Berminat