“Bukan bebas, hanya jamin” – Pegawai Penyiasat bongkar fakta sebenar kes Rosmaini

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat tampil memberikan penjelasan terperinci berhubung kes melibatkan Rosmaini Abd Raof yang kembali hangat diperkatakan di media sosial, sekali gus menjawab pelbagai persoalan dan salah faham orang ramai.

Menurut pegawai berkenaan, Salaihudin Azual beliau merupakan individu yang mengendalikan siasatan kes tersebut pada tahun 2021, melibatkan insiden seorang wanita, Jahidah Binti Nordin, yang mengalami kecederaan parah hingga koma akibat perbuatan suaminya.

Beliau menjelaskan bahawa suspek pernah ditangkap selepas 38 hari melarikan diri dan berjaya diberkas hasil kerjasama pihak polis termasuk Bukit Aman serta kontinjen Johor.

“Suspek telah direman selama lima hari bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Mengulas dakwaan bahawa suspek telah dibebaskan, pegawai itu menegaskan perkara tersebut tidak benar sama sekali.

“Suspek tidak pernah dibebaskan, sebaliknya hanya diberikan jaminan oleh mahkamah sementara menunggu perbicaraan selepas mengaku tidak bersalah,” jelasnya.

Tambah beliau, tindakan undang-undang telah diambil sepenuhnya, termasuk pertuduhan di bawah Seksyen 325/326A Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah.

Selepas melalui proses perbicaraan selama lebih empat tahun, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap suspek.

Bagaimanapun, suspek kemudiannya mengemukakan rayuan dan kes diteruskan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, yang mengekalkan hukuman tersebut. Suspek seterusnya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan kini berada dalam tempoh jaminan sementara menunggu keputusan.

Dalam pada itu, pegawai berkenaan turut menjelaskan bahawa siasatan dapat dilengkapkan dalam tempoh singkat hasil kerjasama saksi serta maklumat yang tular di media sosial ketika kejadian.

Beliau menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan adalah bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat serta memperbetulkan maklumat tidak tepat yang tersebar.

“Saya tidak mewakili mana-mana institusi, namun berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses perundangan berjalan dengan adil tanpa dipengaruhi persepsi awam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat