MCMC Siasat Kandungan Jelik Terhadap Sultan Selangor, Ingatkan Tindakan Tegas Menanti

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap Institusi Diraja kerana ia boleh menjejaskan keyakinan awam serta mengganggu keharmonian masyarakat.

Dalam kenyataan rasmi, MCMC menekankan bahawa orang ramai perlu menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.

“Sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah khususnya melibatkan Institusi Diraja akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang,” jelas kenyataan itu.

MCMC turut memaklumkan bahawa seorang individu telah dipanggil dan dirakam percakapannya di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya bagi membantu siasatan berhubung kandungan jelik melampau melibatkan Sultan Selangor.

Siasatan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, penjara atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan komitmen untuk terus memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform digital bagi tujuan menghina atau menghasut terhadap Institusi Diraja.

Anda Mungkin Berminat