Dewan Di-Raja Selangor Buat Laporan Polis, Kecam Hantaran Hina Sultan

PETALING JAYA: Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor mengecam sekeras-kerasnya satu hantaran di media sosial yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sambil menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat.

Dalam kenyataan media, mereka memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung hantaran oleh akaun bernama ‘Huayan The Pureland Learning Center’ yang memuat naik imej suntingan bersifat jelik.

“Tindakan provokasi yang tidak bertanggungjawab dan biadab ini merupakan satu penghinaan yang amat serius kepada Institusi Diraja,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan tersebut lagi, perbuatan berkenaan bukan sahaja menyentuh sensitiviti institusi diraja, malah berpotensi menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

“Ini bukan sekadar isu sensitiviti tetapi satu bentuk penghinaan serius terhadap Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada kestabilan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Dewan di-Raja Selangor berkata, tindakan keras perlu diambil oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab ini bagi memastikan ketenteraman masyarakat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, mereka turut menyeru Kementerian Komunikasi agar mempergiat usaha mendidik masyarakat mengenai penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.

Terdahulu, beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor turut meminta PDRM dan MCMC mengambil tindakan tegas terhadap hantaran yang menghina Sultan Selangor.

Anda Mungkin Berminat