KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar perkembangan politik di Negeri Sembilan diselesaikan secara tertib dan muafakat dengan menghormati institusi Raja serta undang-undang negeri.
Beliau berkata demikian selepas menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz, bagi membincangkan isu melibatkan institusi Raja dan pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya menyokong titah Tuanku agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan diyakini mampu terus melaksanakan tanggungjawab dengan baik berdasarkan pengalaman dan rekod perkhidmatannya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa perkara berkaitan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran yang sah serta kebijaksanaan pihak berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memelihara keluhuran institusi Raja serta kedaulatan undang-undang dalam apa jua keadaan.
“Saya menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan supaya terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban dalam membicarakan hal berkaitan institusi Raja,” ujarnya.
Semalam, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional(BN) Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN dan Setiausaha DUN.
Baca juga:








