SHAH ALAM: Kejayaan besar dicatatkan oleh Polis Selangor apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berjaya melumpuhkan beberapa sindiket dadah serta penipuan ‘call center’ dalam siri operasi sepanjang April 2026.
Dalam sidang media di Dewan D’ Cerana, IPK Selangor, Ketua Polis Selangor YDH CP Datuk Shazeli Datuk Kahar berkata, antara 21 hingga 23 April, JSJN dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA) menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah melalui serbuan di KLIA dan Bandar Sri Sendayan.
“Antara 21 hingga 23 April 2026, JSJN Selangor dengan kerjasama Polis Bantuan MAHB KLIA berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah melalui serbuan di Kuala Lumpur International Airport dan Bandar Sri Sendayan,” katanya.
Dalam operasi tersebut katanya, dua suspek wanita iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga asing ditahan bersama rampasan 183.7 kilogram bunga ganja bernilai RM14.7 juta, sebuah Honda City, motosikal Vmoto XDV 250 serta wang tunai 280 Pound Sterling.
Menurut beliau, rampasan itu dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 613,000 orang.
“Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan sama, JSJK Selangor turut melumpuhkan empat sindiket penipuan ‘call center’ melalui serbuan di Ampang, Petaling Jaya dan Subang Jaya.
Di Ampang, Shazeli berkata, serbuan menahan 20 individu warga tempatan dan asing yang terlibat dalam sindiket penukaran wang hasil penipuan serta judi dalam talian dengan rampasan peralatan bernilai RM80,000.
Beliau berkata, serbuan di Petaling Jaya pula menahan lapan lelaki tempatan yang berperanan sebagai pengurus akaun bagi transaksi wang disyaki hasil penipuan dengan rampasan RM40,000.
“Kesemua mereka telah dituduh di bawah Seksyen 417/120B Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM5,000 setiap seorang.
“Manakala di Subang Jaya, tiga lelaki ditahan kerana terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian dengan rampasan RM40,000,” katanya.
Secara keseluruhan, 31 individu berjaya ditahan dengan jumlah rampasan bernilai RM160,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420, Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.
Sidang media turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan bersama barisan pegawai kanan termasuk SAC Mohd Rosni Mohamed Lazim (JSJK Selangor), ACP Mohd Faisal Mohd Noor (JSJN Selangor) serta ketua-ketua polis daerah dari Subang Jaya, Ampang Jaya dan KLIA.








