PONTIAN: Dua individu maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah lori di Kilometer 51, Jalan Johor Bahru–Batu Pahat, di sini, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 tengah hari apabila sebuah lori jenis Isuzu kargo am dipandu lelaki tempatan berusia 55 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, kenderaan itu kemudian bertembung dengan sebuah lagi lori jenis Isuzu Luton yang dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun bersama dua penumpang warga asing.
“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang lori Isuzu Luton disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang maut ketika menerima rawatan di Hospital Pontian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemandu lori Isuzu Luton serta seorang lagi penumpang mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu lori Isuzu kargo am turut cedera ringan dan penumpangnya parah.
“Pemandu motolori terlibat telah ditahan bagi membantu siasatan dan kedua-dua kenderaan disita untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, saringan awal air kencing terhadap pemandu lori Isuzu kargo am mendapati keputusan adalah negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya.
Sehubungan itu, polis turut meminta mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Pontian.
Baca juga:








