PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan sebanyak 17 kawasan di seluruh negara kini berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) cuaca panas dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius direkodkan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Di Semenanjung Malaysia, sebanyak 14 kawasan terlibat termasuk Perlis, beberapa daerah di Kedah (Kubang Pasu, Pendang, Kota Setar & Padang Terap), Perak (Kuala Kangsar & Hulu Perak), Kelantan (Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah & Machang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta Selangor (Gombak & Sepang).
Sementara itu, di Sabah, kawasan Beaufort dan Telupid turut mencatatkan status berjaga-jaga, manakala di Sarawak, daerah Limbang berada dalam kategori sama.
Tahap berjaga-jaga ditetapkan apabila suhu maksimum harian mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar, memastikan bekalan air mencukupi serta mengutamakan kesihatan terutama bagi golongan kanak-kanak dan warga emas.
Maklumat terkini mengenai status cuaca panas boleh dirujuk melalui portal rasmi MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas.







