Dua ikon, satu pentas! Awie sertai CIPTA 4 M. Nasir

Oleh: Tyah Helmi

KONSERT Datuk M. N47IR CIPTA 4 bakal dikejutkan dengan kemunculan istimewa penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Awie sebagai artis jemputan utama pada pementasan yang dijadual berlangsung 4 Julai 2026 di Unifi Arena Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57 kehadiran dijangka menjadi tarikan utama konsert berkenaan, dengan peminat menantikan kemungkinan kolaborasi di pentas antara beliau dan maestro muzik, M. Nasir, selain rangkaian lagu hits yang pernah mencipta fenomena dalam industri.

Menurut kenyataan penganjur, Icon Entertainment di laman Instagram beliau pada Rabu, penganjuran CIPTA 4 merupakan kemuncak kepada siri konsert CIPTA yang sebelum ini mencatat kejayaan besar menerusi Cipta 1, Cipta 2, Cipta 3 serta edisi khas Cipta Raya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pementasan muzik paling berpengaruh dalam negara.

Katanya, pemilihan konsep CIPTA melambangkan perjalanan seni M. Nasir yang sinonim dengan kreativiti dan keupayaan menghasilkan karya merentas generasi.

Sejak diperkenalkan pada Ogos 2024, jenama CIPTA terus berkembang dengan penganjuran bersiri yang menetapkan penanda aras baharu dalam industri konsert tempatan.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, CIPTA 4 adalah kesinambungan kepada visi jangka panjang syarikat itu dalam menghasilkan pementasan yang bukan sahaja meraikan seni, malah mencipta sejarah industri.

“Setiap konsert yang dianjurkan adalah usaha menetapkan kayu ukur baharu buat industri muzik tempatan. Sejak awal, kami merancang siri ini dalam empat konsep utama di bawah jenama CIPTA,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat