“Kuat mental, kita boleh” – Zii Jia bakar semangat pasukan

HORSENS, DENMARK: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, menggesa rakan sepasukan memperkukuh kekuatan mental menjelang aksi suku akhir Piala Thomas 2026 di Forum Horsens, esok.

Menurutnya, aspek mental menjadi kunci utama untuk mengharungi tekanan di peringkat kalah mati yang disifatkan lebih mencabar berbanding peringkat kumpulan.

“Dalam acara berpasukan, mental sangat penting. Ada ketika kita menang, tetapi kehilangan mata penting boleh menjejaskan emosi pasukan.

“Saya harap semua pemain, sama ada menang atau kalah, kekal kuat dari segi mental,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Khamis.

Dalam aksi terakhir Kumpulan B semalam, Zii Jia menyumbang mata kedua buat Malaysia ketika tewas 2-3 kepada Jepun, juara edisi 2014.

Beliau mencatat kemenangan ke atas pemain Jepun, Koki Watanabe, dengan keputusan 21-13, 21-19 dalam tempoh 41 minit, sekali gus menamatkan rekod tiga kekalahan berturut-turut kepada lawannya itu.

Walaupun skuad negara gagal menundukkan Jepun, pemain berusia 28 tahun itu tetap optimis Malaysia mampu bangkit lebih kuat di peringkat suku akhir.

Keputusan tersebut menyaksikan Jepun mara sebagai juara Kumpulan B, sekali gus membalas kekalahan kepada Malaysia pada edisi Bangkok 2022 dan Chengdu 2024.

Malaysia pula layak ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan selepas mencatat kemenangan ke atas England 3-2 dan Finland 4-1.

Undian peringkat kalah mati dijadual berlangsung pagi ini (4.30 petang waktu Malaysia), manakala kejohanan berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat