KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia termasuk aktivis, Zainal Rashid Ahmad disahkan ditahan oleh pihak berkuasa Israel selepas kapal yang mereka naiki dipintas dalam misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), awal pagi tadi.
Menurut laporan berita Al-Hijrah, Zainal berada di atas kapal Arkham III atau Al-Faluja, manakala dua lagi rakyat Malaysia iaitu Dr Jihan dan Kapten Osman menaiki kapal Eros I.
Insiden itu berlaku susulan tindakan tentera laut Israel yang dilaporkan mengepung dan memintas sekurang-kurangnya 11 kapal GSF berhampiran zon mencari dan menyelamat di perairan Greece.
Sumber turut memaklumkan bahawa rombongan misi berkenaan berdepan ancaman termasuk risiko penculikan dan keganasan sepanjang operasi pintasan dijalankan.
Perkembangan tersebut dikongsikan menerusi akaun rasmi media sosial Sumud Nusantara yang menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Tindakan ini mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan misi serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan mesti bertindak segera untuk melindungi flotila ini serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Dalam masa sama, tentera laut Israel dilaporkan turut berhubung dengan rombongan GSF melalui kapal Greenpeace Arctic Sunrise, dengan memberi amaran bahawa sebarang cubaan memecahkan sekatan maritim ke atas Gaza dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
GSF merupakan misi pelayaran kemanusiaan antarabangsa yang bertujuan membawa bantuan serta meningkatkan kesedaran global terhadap situasi di Gaza.
Baca juga:








