PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa langkah pelarasan perbelanjaan mengurus yang sedang dilaksanakan tidak akan menjejaskan perkhidmatan asas kepada rakyat termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, pelarasan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala komitmen terhadap perbelanjaan teras kekal seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.
Menurut MOF, sektor kesihatan dan pendidikan terus menjadi keutamaan dengan peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026,” kata kenyataan itu.
Antara garis panduan pelarasan termasuk penangguhan penganjuran acara, pengurangan lawatan dan latihan luar negara, penjimatan utiliti serta pengoptimuman rizab simpanan agensi.
Selain itu katanya, pengisian jawatan bukan kritikal turut ditangguhkan sementara.
“Langkah tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan kewangan negara secara berhemat khususnya dalam menghadapi tekanan ekonomi global semasa.
“Langkah pelarasan ini bertujuan mewujudkan ruang fiskal bagi membiayai bantuan dan subsidi bersasar kepada golongan serta sektor rentan yang terkesan,” menurut MOF.
Kementerian itu berkata, pendekatan berhemat itu penting bagi memastikan negara bersedia menghadapi impak berpanjangan akibat Krisis Bekalan Global yang dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi.
“Kerajaan akan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi dan kedudukan kewangan negara kekal kukuh,” tegas MOF.
Perkembangan lanjut mengenai langkah pelarasan dan kesannya terhadap ekonomi negara akan terus dipantau dari semasa ke semasa.








