PM Anwar dan Bank Rakyat bincang usaha perkukuh kewangan Islam negara

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat bagi meneliti prestasi kewangan institusi itu bagi tahun 2025 serta membincangkan hala tuju strategiknya untuk tahun mendatang.

Perdana Menteri merakamkan penghargaan terhadap prestasi tadbir urus dan kedudukan kewangan Bank Rakyat yang kekal kukuh sepanjang tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya merakamkan penghargaan atas prestasi tadbir urus dan kedudukan kewangan Bank Rakyat yang terus kukuh pada tahun lalu, mencerminkan disiplin serta komitmen yang tinggi dalam mengurus amanah,” katanya menerusi laman rasmi Facebooknya semalam.

Dalam pertemuan tersebut, perbincangan turut tertumpu kepada usaha memperkukuh sistem perbankan dan kewangan Islam negara.

Anwar menegaskan, prinsip keadilan, ihsan dan keterangkuman perlu terus dijadikan teras dalam memperluas peranan kewangan Islam, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau turut menekankan agar Bank Rakyat terus menggalas mandat penubuhannya dengan lebih berani dan berwawasan, di samping meneroka peluang baharu ke arah mewujudkan model perniagaan yang lebih berdaya saing serta mampan demi manfaat bersama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat