KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menegaskan pendirian membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang dijadual berlangsung di ibu negara atas kebimbangan terhadap kesan negatif terhadap akhlak dan nilai masyarakat.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, JAWI berkata, program berunsur hiburan tersebut dilihat berpotensi mencetuskan keruntuhan moral khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Penganjuran program ini dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Agensi itu turut melahirkan rasa kesal terhadap penganjuran festival berkenaan dan menggesa pihak penganjur menilai semula konsep pelaksanaan agar lebih selari dengan sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.
JAWI berkata, Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia perlu tertakluk kepada garis panduan syarak yang jelas.
“Hiburan ada batas dan penganjur memikul tanggungjawab untuk memastikan ia tidak melanggar ketetapan agama serta tidak mengandungi unsur maksiat,” jelas JAWI lagi.
Sebagai langkah susulan, JAWI akan mempergiat pelaksanaan program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum serta kempen kesedaran di media sosial.
Bacaan Yasin dan solat hajat turut dijadualkan serentak di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas solat Maghrib hari ini bagi mendoakan kesejahteraan masyarakat.
JAWI dalam kenyataan itu menyeru semua pihak agar memastikan setiap penganjuran program hiburan tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak.








