Pemergian Maria Menado Kehilangan Besar Dunia Perfileman – Fahmi

PETALING JAYA: Dunia perfileman tanah air sekali lagi berduka dengan pemergian seniwati legenda, Allahyarhamah Datuk Seri Maria Menado atau nama sebenarnya Maria Abdullah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan besar ini yang disifatkan sebagai satu kehilangan berharga buat industri perfileman Melayu.

Menurut beliau, Allahyarhamah merupakan antara tokoh penting yang mewarnai era kegemilangan filem Melayu sekitar 1950-an hingga awal 1960-an, dengan lakonan yang meninggalkan impak mendalam kepada perkembangan seni tempatan.

“Lakonan ikonik beliau khususnya menerusi filem Pontianak pada tahun 1957, bukan sahaja mencetuskan fenomena luar biasa ketika itu, malah membuka ruang kepada perkembangan genre seram tempatan yang terus mendapat tempat sehingga hari ini,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya pada Khamis.

Fahmi berkata, pemergian Allahyarhamah bukan sekadar kehilangan seorang pelakon tetapi turut merangkumi hilangnya sebahagian daripada sejarah dan warisan seni negara yang amat berharga.

Tambah beliau, ramai generasi terdahulu membesar dengan karya lakonan Allahyarhamah, manakala aura serta pengaruhnya kekal dirasai dalam industri hingga kini.

“Bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta rakan-rakan yang pernah mengenali dan bekerjasama dengan Allahyarhamah.

“Semoga segala jasa dan sumbangan beliau menjadi amal jariah yang berpanjangan,” ujarnya.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Anda Mungkin Berminat