Kerajaan Giat Usaha Bebas Aktivis Global Sumud Flotilla – Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia kini sedang menggerakkan usaha diplomatik secara menyeluruh dengan kerjasama rapat negara-negara sahabat bagi memastikan semua aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) dibebaskan segera, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan mereka dibebaskan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, aspek keselamatan semua aktivis termasuk rakyat Malaysia yang terlibat kekal sebagai keutamaan kerajaan.

“Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi,” tegasnya.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat serta memastikan kebajikan rakyat negara ini sentiasa terpelihara melalui saluran diplomatik berterusan.

Situasi semasa dilaporkan dipantau rapi dengan kerjasama pelbagai pihak antarabangsa.

Terdahulu, sebanyak 22 kapal membawa 186 aktivis kemanusiaan yang menyertai pelayaran GSF 2.0 bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa awal pagi tadi.

Daripada jumlah itu, enam kapal ditahan dan diceroboh, melibatkan 10 rakyat Malaysia termasuk seorang doktor serta beberapa aktivis kemanusiaan.

Anda Mungkin Berminat