KUALA LUMPUR: Orang ramai diseru agar terus mengamalkan perbelanjaan berhemah sebagai langkah bersama menghadapi kemungkinan peningkatan harga makanan dalam beberapa bulan akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi dan terkawal, tekanan kos pengeluaran seperti baja, makanan ternakan dan bahan api dijangka memberi kesan kepada harga pasaran.
“Dalam keadaan ini, peranan pengguna amat penting. Kita perlu berbelanja secara bijak, elakkan pembaziran dan utamakan keperluan,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata, peningkatan kos input memberi kesan langsung kepada harga makanan termasuk sektor ternakan dan sayur-sayuran.
Justeru katanya, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mengurangkan impaknya.
Dalam masa sama Mohamad Sabu berkata, kerajaan terus mengambil langkah proaktif melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk memastikan bekalan kekal stabil dan harga dapat dikawal sebaik mungkin.
Tambah beliau, amalan berhemah dalam perbelanjaan bukan sahaja membantu isi rumah mengurus kewangan, malah turut menyokong kestabilan pasaran secara keseluruhan.
“Jika kita semua memainkan peranan, insya-Allah kita mampu melalui cabaran ini dengan lebih tenang,” katanya.








