SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menumpaskan cubaan pemindahan minyak sawit mentah secara haram melibatkan sebuah barge dan sebuah bot kargo kecil di perairan Sandakan, awal pagi Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 2.00 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin.
“Hasil maklumat awam, pasukan operasi telah mengesan sebuah barge dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 0.10 batu nautika selatan Bandar Leila.
“Pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti pemindahan minyak sawit mentah sedang dilakukan ke sebuah bot kargo kecil menggunakan pam kargo,” katanya.
Menurut beliau, ketika bot peronda menghampiri lokasi, beberapa individu cuba melarikan diri namun berjaya dihalang oleh anggota penguat kuasa.
Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah telah dipindahkan ke dalam tangki bot kargo kecil, manakala baki tiga tan masih berada di dalam barge.
Seramai empat lelaki tempatan dan seorang warga Filipina berusia antara 29 hingga 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada kru barge dan awak-awak bot kargo kecil.
Kedua-dua vesel bersama muatan yang dianggarkan bernilai RM2.08 juta telah diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus memperketatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
Orang awam turut diminta menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.








