Peserta Mohon Maaf, Penganjur Tegas Kena Penalti Masa

PETALING JAYA: Pihak penganjur Langkawi Kilim Trail Run 2026 tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung isu pelanggaran peraturan oleh salah seorang peserta dalam acara tersebut.

Insiden itu berlaku di ‘Checkpoint’ 1 apabila peserta didapati meminum air tanpa menggunakan cawan peribadi yang diwajibkan.

“Peserta berkenaan didapati telah meminum air di Checkpoint 1 tanpa menggunakan cawan peribadi (mandatori).

“Tindakan ini dikesan oleh urusetia bertugas yang kemudiannya memberikan amaran pada peserta tersebut,” kata kenyataan itu.

Bagi mengekalkan integriti pertandingan, penganjur mengambil langkah tegas dengan mengenakan penalti masa terhadap peserta terbabit.

“Berdasarkan peraturan ‘No Cup Policy’ yang ditetapkan, pihak penganjur telah mengambil keputusan tegas untuk mengenakan penalti masa terhadap pelari tersebut sebagai pengajaran dan bagi mengekalkan integriti pertandingan,” jelas kenyataan itu.

Walau bagaimanapun, di Checkpoint 2 peserta telah menunjukkan pematuhan dengan menggunakan cawan peribadi dan semasa pemeriksaan barangan mandatori di garisan penamat, semua item didapati lengkap. Peserta terbabit turut mengakui kesilapan dan menyampaikan permohonan maaf secara rasmi.

“Peserta terlibat telah mengakui kekhilafan tersebut dan mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada pihak urusetia atas kegagalan mematuhi protokol di peringkat awal perlumbaan,” kata kenyataan itu.

Penganjur berkata, isu itu dianggap selesai dengan pengenaan penalti masa tersebut, sambil menghargai kejujuran dan kerjasama peserta sepanjang proses semakan dijalankan.

Anda Mungkin Berminat