Pelantikan Suriani Ahmad Sebagai Ketua Setiausaha KKDW

PETALING JAYA: Pejabat Ketua Setiausaha Negara hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Suriani Ahmad sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkuat kuasa 4 Mei 2026.

Dalam kenyataan rasmi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan tersebut dan menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan beliau.

“Saya yakin dengan kompetensi dan pengalaman yang dimiliki, beliau dapat memacu kecemerlangan KKDW dalam pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar berteraskan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam untuk mencapai aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Datuk Seri Suriani, 58 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia serta Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, dasar awam dan hubungan antarabangsa.

Sepanjang kerjaya, beliau pernah menyandang jawatan penting termasuk Ketua Setiausaha di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Anda Mungkin Berminat