PETALING JAYA: Kesejahteraan rakyat dan kebajikan haiwan mesti menjadi teras kepada tindakan kerajaan, selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi meneliti perancangan dasar serta keutamaan kementerian sepanjang tahun ini.
Antara isu mendesak yang dibincangkan ialah pelaksanaan pembenihan awan di negeri-negeri kritikal termasuk Kedah dan Perlis.
Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyegerakan langkah tersebut dengan meneroka teknologi baharu.
“Saya arahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyegerakan pelaksanaannya termasuk meneroka penggunaan teknologi dron serta kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menampung kekurangan pesawat bersesuaian, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata beliau.
Dalam pertemuan itu, pengurusan NRES turut membangkitkan isu tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada di Jepun.
Anwar berkata, kebajikan haiwan tersebut mesti menjadi keutamaan kementerian dan Zoo Taiping.
“Sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik Dara, Amoi dan Kelat.
“Maklumat yang telus dan berfakta perlu disalurkan secara berterusan agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan mereka di sana,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan kepentingan tatakelola berkualiti, integriti utuh dan sifar toleransi terhadap ketirisan sebagai asas membina Malaysia yang inklusif, makmur dan mampan.







