Srikandi PKR Tempelak KJ, ‘Malaysia Tak Perlu Batu Api Politik’

PETALING JAYA: Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), NurHidayah Che Rose berkata, rakyat Malaysia tidak memerlukan ‘batu api’ politik, sebaliknya mendambakan kestabilan dan penyelesaian tegas.

Kenyataan itu ditujukan kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) yang didakwa sering memainkan naratif politik persepsi.

Beliau berkata, kenyataan Khairy semakin jelas memperlihatkan politik bermotif peribadi yang hanya menguntungkan pihak lawan.

“Ini bukan pendirian berprinsip, ini percaturan politik lama yang cuba dihidupkan semula,” katanya.

Beliau berkata, Khairy dilihat sering mempertikaikan hubungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan naratif yang melaga-lagakan, sekali gus memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Cubaan mencetuskan konflik dan kekeliruan rakyat demi populariti politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Menurut NurHidayah, kemunculan Khairy yang seakan membawa suara parti sebenarnya hanyalah suara individu yang sedang mencari ruang untuk kembali relevan.

“Khairy Jamaluddin secara tiba muncul dan tampil seakan membawa suara parti namun pada hakikatnya itu bukanlah suara UMNO tetapi suara individu yang sedang mencari ruang untuk kembali relevan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menuntut agar Khairy menghentikan tindakan politik murahan kerana rakyat sudah muak dengan percaturan sebegitu.

Anda Mungkin Berminat